Firman Allah: Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. [Surah al-Baqarah: 261]
Selamat Datang ke laman web Teratak Iskandar. Jangan lupa untuk meninggalkan jejak anda dengan meninggalkan komen-komen yang membina dan mengundi di kotak undian yang disediakan. Semoga usaha-usaha kita diredhai Allah

Monday, December 28, 2009

ARTIKEL TERPILIH-Inspirasi Dan Sentralisasi

Kehadiran ratusan ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) setiap tahun hampir menggenapkan jumlahnya kepada seribu ahli.Perkembangan yang pesat ini menjadikan PCI sebagai satu persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir yang semakin matang dalam membina institusi yang lebih tampak professional, samada dari aspek jawatankuasa gerak kerja mahupun dari aspek pelaksanaan dan perlembagaan persatuan.

Merosotnya peranan Asrama MARA

Taburan penginapan pelajar perubatan Malaysia di Iskandariah yang menunjukkan tumpuan penginapan antara Azzarita dan Cleopatra mentafsirkan kurangnya fungsi Asrama MARA Iskandariah sebagai pusat pengumpulan aktiviti pelajar.Dalam masa yang sama, kesesakan ruang legar aras bawah Asrama MARA sebagai kafetaria sedikit sebanyak meninggalkan perasaan kurang selesa dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Aras 3 Asrama MARA Iskandariah yang menjadi tanda tanya hak pemilikan MARA dinafikan oleh perintah mahkamah.Justeru, inisiatif dan kesedaran timbul bagi menyelesaikan kemelut tempat aktiviti pelajar dan gerakkerja PCI.

Atas dasar keperluan dan manfaat semua pihak, satu idea mewujudkan rumah PERUBATAN Cawangan Iskandariah (Teratak Iskandar) timbul bagi membuka lokasi dan tempat baru untuk menjalankan segala aktiviti pelajar dan persatuan.Fungsinya tidak terhad di situ sahaja, malah mampu dikembangkan dan disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Relevankah Kewujudan Teratak Iskandar?
Penelitian dan kajian terhadap perkembangan pesat PCI sepanjang tiga tahun beroperasi menunjukkan rumah persatuan bukan lagi sebagai satu keperluan, tetapi telah menjadi satu kewajipan dalam usaha meningkatkan prestasi gerakkerja PCI kepada ahlinya.Penambahan aset PCI yang berganda setiap kali bertambahnya ahli memerlukan lokasi yang strategik dan selamat sebagai stor penyimpanan, disamping pengurusan penyimpanan aset yang efisyen.

Tiga tahun kewujudan PCI menyaksikan tebaran aset-aset PCI di merata tempat dan rumah pelajar.Tiada siapa mampu menafikan puluhan perkakas sistem audio dan video yang bernilai ribuan junaih berada di Cleopatra.Dalam masa yang sama perkakas-perkakas keselamatan berada di Azzarita, dan perkakas-perkakas sukan pula berada di Gama’ah.Peralatan dapur seperti dapur gas, pinggan, cawan dan tong air berada di Cleopatra bersama-sama dengan puluhan bungkusan yang mengandungi barang-barang jualan Unit Ekonomi PCI.

Sistem Rekod yang rumit

Jika aset-aset persatuan sudah terumbang-ambing, apatah lagi segala maklumat-maklumat sulit berkaitan PCI dan maklumat-maklumat peribadi ahli?Pasti, satu pejabat diperlukan bagi menyimpan segala fail yang mengandungi data-data peribadi ahli serta hal ehwal persatuan.Segala rekod perjalanan aktiviti PCI perlu disimpan dengan selamat dan disusun secara bersistem bagi mengelakkan sebarang kecelaruan data dan kebocoran maklumat ahli.

Teratak Iskandar, yang bakal menjadi pusat serta tumpuan segala aktiviti persatuan seperti kelas tafaqquh fiddeen, koperasi PCI, perjumpaan smartcircle, perbincangan dan kelas tambahan, mesyuarat AJKT PCI, student representatives serta adhoc program dan berbagai-bagai lagi bakal mewujudkan satu senario mahasiswa yang aktif bukan sahaja dari sudut akademik, malah turut terlibat secara langsung dalam pembinaan kendiri dan modal insan menerusi penglibatan dalam aktiviti-aktiviti persatuan.Tidak cukup dengan itu, rumah persatuan ini juga mampu menjadi tempat rekreasi permainan in-door bagi setiap pelajar.Ia juga bakal mempamerkan identiti PCI sebagai sebuah persatuan di mata pertubuhan-pertubuhan luar dengan bertindak sebagai lokasi perjumpaan rasmi serta pertemuan-pertemuan yang mengambil kira soal formaliti dan profesionalisme.

Berbincang soal manfaat dan faedah yang bakal digarap daripada Teratak Iskandar ini, ratusan malah ribuan mampu disenaraikan.Tidak terhenti di sini, jutaan lagi mampu dibentang dan divariasikan serta dimanfaatkan oleh generasi akan datang.Kebijaksanaan kita sebagai ahli PCI hari ini dalam mengolah dan menyingkap seribu satu idea ke arah mewujudkan Teratak Iskandar, bakal melahirkan tunas-tunas hasil yang mampu dituai sampai bila-bila.

Inspirasi Dan Sentralisasi
Inilah sumber kekuatan PCI, selaku persatuan yang mewakili mahasiswa perubatan di Iskandariah.Persatuan yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada ahli, namun hanya segelintir yang menyedari betapa persatuan yang sama ini juga perlu diberi sokongan dan inspirasi.Betapa hari ini kita sibuk mencari yang lain selain PCI dengan alasan PCI masih lemah dan tidak sempurna.Betapa hari ini kita sibuk menyumbang kekuatan untuk sesuatu yang lain, sedangkan PCI masih tergantung tidak bertali tanpa sebarang kudrat yang disumbangkan oleh ahli.

Benar…Memang diakui PCI masih belum sempurna.Tetapi PCI sentiasa bersedia memperbaiki segala kelemahan untuk melangkah ke arah lebih baik.

Hebatnya sebuah pasukan bola sepak kerana wujudnya seorang kapten yang mampu merencana strategi permainan.Hebatnya sebuah pasukan muzik kerana wujudnya seorang ketua yang menjadi titik ikutan setiap ahli.Dan hebatnya sebuah program yang dijalankan kerana adanya seorang perancang yang sedia mengorbankan masa dan tenaga mengatur setiap satu urusan program.

Inilah aturannya…PCI juga mampu bergerak lebih efisyen, dengan syarat persatuan yang dianggotai oleh ratusan mahasiswa perubatan ini memiliki satu sentral sebagai sumber kekuatan serta pusat sentralisasi gerakkerja persatuan.

Jika untuk bola sepak kita sedar akan kepentingannya…
Jika untuk pasukan muzik kita sedar akan kepentingannya…
Dan jika untuk setiap program juga kita sedar akan kepentingannya…
Apatah lagi untuk sebuah organisasi yang melaung-laungkan tema ‘profesionalisme’…
Dan lebih-lebih lagi untuk sebuah organisasi yang sedia memberi khidmat untuk Agama Islam, bangsa dan Negara Malaysia.

Wallahu a’lam…

*Kepada sesiapa yang ingin mengirimkan artikel samada menyokong, tidak menyokong ataupun neutral. Bolehla menghantar ke teratakiskandar09@gmail.com. Sila nyatakan nama dan tahun pengajian anda.

No comments:

Post a Comment